I received a heartfelt piece via email about 30 minutes ago. It’s in Bahasa Malaysia and is timely as "The Mother of By-Elections" will occur tomorrow August 26. But the content goes beyond elections, it’s about the essentials of carving a future together. Thanks Anak Jati P44, N10 for sharing.
(Photo from Anil Netto)
* * *
"Esok Permatang Pauh akan menempah sejarah sebagai salah satu tempat di mana penduduknya akan menghadapi ujian litmus dan berpeluang menentukan masa depan negara" – itulah kata-kata seorang pekerja PKR yang menganggap kejayaan atau kekalahan DSAI di pilihanraya kecil kawasan parlimen Pmtg Pauh sebagai petanda kepada arah tuju dan masa hadapan negara. Secara tidak langsung, kemenangan bagi pihak PKR juga merupakan satu pengesahan kepada agenda PKR yakni "memerdekakan rakyat" mahupun "ketuanan rakyat" dan agenda-agenda sampingan yang lain.
Manakala kemenangan bagi pihak BN, khususnya kepada UMNO seolah-olah mengiyakan usaha kerajaan BN dalam "… membangunkan kawasan luar bandar yang hasil ekonomi utama penduduk setempatnya bergantung kepada hasil pertanian dan penternakan kepada satu kawasan komersil yang pesat membangun dan menyumbang kepada peningkatan taraf hidup dan ekonomi."
Soalan siapakah yang akan muncul juara dalam pertembungan politik yang teramat sengit ini terletak di dalam tangan pengundi-pengundi kawasan parlimen Permatang Pauh esok.
Bagi sesetengah orang, hujah politik mirip kepada omong-omong yang membosankan. Sudah tentu soalan pilihanraya kecil ini yang menjadi buah mulut semasa tidak akan dipedulikan.
Walaupun begitu, kawasan Parlimen Pmtg Pauh membawa banyak kenangan manis kerana di situlah tempatnya saya menghabiskan sebahagian besar zaman remaja saya sebagai seorang penuntut di satu sekolah di sana. Sudah 14 tahun saya menjejak kaki keluar daripada pintu utama ‘alma mater’ menuju ke alam kolej, universiti, kerja dan mendirikan rumahtangga.
Rakan-rakan sekolah dulu yang main bersama, makan bersama, bersekolah bersama, malah jatuh hati bersama-sama tanpa mengira soal asal-usul, taraf kelas, kedudukan sosial, saling menyumbang kepada satu kenangan nostalgik yang positif. "Eksperimen" sosial ini yang dijalankan dalam masyarakat pelbagai kaum nampaknya telah berjaya memupuk satu semangat bersatu-padu antara kaum di kalangan pelajar. Maka kami menziarahi rumah satu sama lain tanpa was-was. Saya masih ingat ketika rumah terbuka untuk menyambut harijadi saya bagaimana rakan-rakan Melayu begitu sensitif tidak mahu menyinggung perasaan saya dan terus memakan kek dan kuih yang dibeli (halal) yang dihidangkan tanpa merungut walaupun tidak menyentuh mi dan ayam goreng yang telah dimasak emak. Hanya selepas upacara selesai pada keesokan harinya, maka rakan pun memberitahu.
Kepada sesetengah orang, mungkin eksperimen tersebut terlalu berjaya. Bidadara Cupid mengambil kesempatan merapatkan jejaka lelaki yang tampan lagi gagah dengan gadis-gadis yang ayu lagi molek. Seingat-ingatnya saya, senyum-senyum kambing terukir luas pada wajah si lelaki Tionghua dengan si gadis Melayu, si lelaki Melayu dengan si gadis Cina atau si gadis India dan sebagainya, masing-masing dengan rahsia mereka sendiri. Rojak ataupun sudah rosak?
Pokoknya, pengalaman saya di dalam masyarakat pelajar tingkatan menengah yang bergaul sesama sendiri tanpa mengira kaum mahupun jantina bermaksud tercapailah maklamat Rukunegara dengan terhasilnya satu masyarakat pelajar yang terpelajar yang bersifat egalitaris, hidup dalam harmoni dan sosialis (iaitu kesamarataan dan bukannya ideologi komunis) yang berlandaskan kepada nilai-nilai keagamaan dan moral yang murni.
Dalam hubungan pelajar dengan pengajar pula bolehlah dikatakan cukup akrab. Saya dikira amat bertuah kepada mempunyai guru-guru yang ramai di kalangnya berdedikasi kepada perkembangan akademik dan akhlak pelajar-pelajar. Tidak pernah saya terdengar kata-kata kesat yang bersifat seksis yang bertujuan menjatuhkan imej dan maruah kaum-kaum ibu dan wanita ataupun bersifat rasis yang bertujuan memecah-belah kaum yang terkeluar daripada bibir-bibir pengajar.
Malah, saya terkenang bekas Penolong Kanan (I) yang telah bertegur sapa dengan saya apabila terserempak ketika di pasaraya Makro Seb Jaya dahulu. Orangnya cukup berbudi, wataknya cukup alim, rupanya seakan ulama sewaktu saya masih di bangku sekolah dulu. Terkejut saya dia masih ingat kepada saya dan menegur saya tanpa ragu-ragu. Sebaliknya, saya pula yang ragu-ragu kerana masih ingat lagi kata-kata lembutnya yang meninggalkan kesan yang mendalam ketika mengadapnya, "Merokok itu adalah haram." Tegas tetapi lembut; bukannya fanatik.
Bekas Penolong Kanan (II) Hal-Ehwal Pelajar yang banyak memberi nasihat di samping mengajar kelas Matematik Tambahan yang begitu rumit. Ketika menghadapi masalah menguruskan soal biasiswa dan sijil akuan tamat sekolah, beliau telah meluangkan masa dari jadualnya yang amat sibuk untuk membantu saya tanpa mengharapkan sebarang balasan. Jemputan minum pun ditolak. Baginya, dirinya puas melihat anak didikannya berjaya ke menara gading. Lagipun, dia tidak memandang taraf; saya hanyalah orang kebanyakan dari golongan kaum Tionghua.
Riuh rendah kami menjadikan rumah seorang guru kelas kami ketika datangnya Hari Raya Puasa. Pasangan suami isteri dengan anak seramai sepasukan bola sepak itu amat mengalu-alukan kami, pelajar-pelajar yang begitu majmuk di rumah satu teres satu tingkat di Taman Siakap bertentangan masjid Seberang Jaya yang tersergam megah.
Terdapat banyak kenangan-kenangan manis lagi, sekira dicerita belum tentu boleh dimuat semuanya dalam satu buku.
Oleh demikian, apabila saya melihat, membaca dan melihat berita-berita media arus perdana dewasa ini, saya menggeleng-gelengkan kepala terkilan dengan permainan politik yang memainkan slogan-slogan berbaur api perkauman dan agama. Maka saya memulaukan membaca media arus perdana kita.
Betulkah keadaan yang dialami saya semasa di bangku sekolah dahulu seperti di atas bukan satu perkara yang normatif lagi? Adakah penduduk di Malaysia tidak percaya lagi bahawa keutuhan dan ketahanan sesebuah negara itu bergantung kepada kesefahaman rakyatnya sesama sendiri sebagaimana kuat lilit kerana simpulnya? Adakah ini hanya akan tinggal sebagai kenangan dan satu angan-angan? Sudahkan ahli politik lupa bahawa sikap kuah sama dirihup, sambal sama dicolek perlu sekali diwujud dan dikekalkan di kalangan rakyat sesebuah negara berbilang bangsa?
Adakah rakyat Malaysia mahu berbalah semasa sendiri mendengar hasutan ahli politik sehingga berpecah belah? Mahukah kita yang berbilang kaum yang tidak lagi bersatu padu membuka ruang kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab memanipulasikan keadaan?
Balik kita kepada pilihanraya kecil ini; Mac 8 telahpun berlalu dan rakyat telahpun bersuara. Kini tiba masanya untuk rakyat kawasan parlimen Permatang Pauh bersuara sekali lagi. Keputusan pilihan raya terletak di dalam tangan mereka.
Melalui pengalaman saya dengan rakan-rakan dan guru-guru Melayu saya dari kawasan parlimen pmtg pauh, saya yakin penduduk di sini dapat membuat keputusan yang betul. Baik Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban atau sebagainya kita sebagai insan tetap mahukan integriti, keadilan, kesejahteraan, keharmonian untuk semua bagi membina Malaysia.
– Anak Jati P44, N10
* * *